Thursday, March 12, 2009

Amnesia Melalui Kebencian

Pernah terlintas di benak fikiranku apakah perasaan marah dan benci itu boleh mendorong kita ke jalan pelupaan? Dengan membayangkan seseorang yang pernah kita kenali secara intim itu sebagai sesuatu yang sangat menjijikkan, bahkan lebih hina dan meloyakan dari najis berat mughalazah, akan memudahkan proses penghapusan memori itu sendiri? Aku, secara peribadi, tidak mempunyai kemampuan untuk membenci seseorang dengan sedemikian rupa tapi aku ingin tahu apakah proses amnesia melalui kebencian ini suatu teknik terapi yang efektif dan berkesan? Apakah benar dengan membenci seseorang itu dan menganggap dia sebagai suatu entiti yang lebih kecil dari kuman bakteria akan membolehkan kita menghapuskan segala kenangan indah yang pernah kita kecapi bersama orang itu, atau sekurang-kurangnya mengubah kenangan itu menjadi suatu titik hitam yang akan lama-kelamaan pudar ditelan waktu?

Entah lah. Aku tidak mahu berpura-pura mengetahui jawapan untuk pertanyaan di atas. Lain orang lain selok-belok fikirannya. Soal hati dan fikiran ini kita serahkan kepada yang Esa sahaja. Hanya Dia yang maha mengetahui. Tapi yang aku ingin sekali tahu ialah apakah patut kita merasa benci kepada seseorang itu walaupun orang itu pada pandangan dia tidak pernah berlaku salah apa-apa pun terhadap diri kita ini? Apakah itu suatu perlakuan yang moral dan beretika dalam mencari apa-apa sebab pun untuk membenci seseorang itu semata-mata kita ingin melupakan segala pengalaman yang kita pernah alami bersama si-dia?

Bukan tugas aku di sini untuk menghakimi seseorang itu kerana aku hormat kepada kemampuan akal fikiran individu itu sendiri untuk menilai apa yang baik dan buruk di dalam hidupnya. Akan tetapi kita harus memikirkan seketika apakah sebenarnya erti kebencian itu? Padaku memang wajar sekali kalau kita membenci sesuatu atau seseorang yang memang wajib dibenci seperti rasisme, penganiayaan anak kecil dan binatang, pembunuh, perogol, peperangan dan lain-lain. Tapi persoalannya sekarang adakah wajar untuk kita membenci sesuatu atau seseorang yang tidak pernah berlaku salah terhadap diri kita ini? Menurut pandangan aku hak membenci itu sememangnya hak individu masing-masing dan selagi hak individu ini tidak menyalahi undang-undang dan memecah-belahkan masyarakat bagiku itu tidak menjadi masalah walaupun aku sama sekali tidak bersetuju dengan sebab dan objek kebencian individu itu.

Bagiku, untuk membenci seseorang itu jauh lebih mudah dari memaafkan kerana untuk memaafkan seseorang itu memerlukan penurunan ego yang drastik dan kemampuan untuk melihat objek kebencian itu bukan sebagai binatang yang menjijikkan tetapi sebagai manusia yang setara dan bermaruah. Bak kata pepatah Inggris, "it takes a bigger man to forgive" atau Nabi Isa sendiri pernah berbicara di dalam kitab Injil "turn the other cheek." Memang perasaan benci dan amarah (aggression), menurut Sigmund Freud, itu sebahagian dari naluri asas manusia tetapi semuanya terserah kepada individu itu sendiri untuk menguasai perasaan bencinya itu dan sejauh mana dia harus meluahkannya. Tapi berbalik kepada soalan asal: apakah dengan merendam fikiran kita dengan rasa benci kepada seseorang itu boleh mengikis bersih segala memori pahit-manis bersama orang itu? Wallahualam bis-shawab (hanya Tuhan sahaja yang mengetahui apa yang benar).

1 comment:

Anonymous said...

perlu memeriksa:)